PENDAHULUAN
Sesungguhnya pengutusan Rasulullah s.a.w. membawa pelbagai
rahmat kepada alam. Oleh kerana itu, antara hikmah pengutusan baginda kepada
manusia adalah sebagai pakar perubatan samada spiritual, akal dan fizikal
manusia. Ironinya, sesuatu pensyariatan yang diwahyukan kepada Baginda s.a.w.
merupakan penawar untuk mengubati dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan
kepada cahaya Islam.
Dalam karangan ilmu warisan dan kesarjanaan ulama silam,
banyak kitab-kitab yang membincangkan tentang perubatan mengikut acuan Islam. Banyak
daripada tokoh-tokoh ilmuan dikalangan para ulama silam yang mengemukakan
pelbagai teori dan praktik dalam sistem perubatan Islam seperti Harith ibn Khaladah, Ibn Sina, al-Zahrawi, al-Razi, Ibn al-Matran, Ibn Jumay dan lain-lain.
Antara contoh kitab yang boleh kita perhalusi yang pernah dikaryakan oleh ulama masyhur
sehingga kini adalah kitab “Perubatan Nabi الطب النبوي” daripada Imam
Syamsuddin Muhammad bin Abi Bakar Abi Qayyim al-Jauziyyah (691H) masyhur dengan
nama Ibn Qayyim al-Jauzi. Dalam kitab tersebut, beliau merangkumkan pelbagai hadis-hadis
daripada Nabi s.a.w. tentang persoalan dan perawatan sesuatu penyakit.
ILMU
PERUBATAN sebagaimana
yang dijelaskan oleh ibn Qayyim :
حفظ الصحة والحمية عن المؤذى والإستفراغ من
المواد الفاسدة
“Penjagaan kesihatan, pelindungan daripada penyakit, pembuangan
daripada perkara-perkara yang membinasakan”. [1]
Dalam pendahuluan kitab tersebut, beliau ada menyatakan : “Inilah
beberapa fasal/ceraian panduan daripada Nabi s.a.w. dalam ilmu perubatan untuk dipelajari.
Ia menjelaskan kepada manusia awam dan penerangan tentang hikmah-hikmah terhadap
kelemahan akal untuk mengetahui dan memahami hakikat sesuatu penyakit tersebut”.[2]
Sebenarnya, pengarang (ibn Qayyim) cuba menjelaskan tentang
teknik dan teori perubatan yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. Ianya bertujuan
menuntun hati-hati manusia agar lebih dekat dengan Pencipta-Nya. Inilah
bimbingan wahyu dan panduan Rasulullah s.a.w. dalam proses perawatan dan
perubatan mengikut acuan Islam.
Anggota tubuh manusia akan menjadi lemah sekiranya tidak
dijaga dengan baik. Apabila tubuh badan tidak melaksanakan kewajipan dan
tugasan hariannya atau menggunakannya melampaui batasan kemampuan anggota badan
maka senanglah bagi kuman dan apa-apa pnyakit menghinggapinya. Ianya boleh
dikaji, dianalisa, dan dibuat penelitian bagi mereka yang menceburi khusus
tentang ilmu perubatan.
Begitu juga penyakit dalaman (spiritual) seseorang juga akan
diserang pelbagai penyakit akibat terkesan dengan unsur-unsur luar dan suasana
kehidupan sekeliling mereka. Kesannya pada seseorang itu kita akan dapati
seperti apa yang diceritakan oleh Nabi s.a.w iaitu wujudnya ketakutan,
keraguan, kebimbangan, fobia, tekanan, stress, mudah marah dan lain-lain. Ini
semua adalah penyakit yang menimpa hati-hati seseorang apabila suasana
sekeliling tidak sesuai dengan naluri, kebebasan hidup ditekan dan tidak
meraikan fitrah semulajadi mereka.
HAKIKAT
PENYAKIT
Dalam kitab tersebut pengarang (ibn Qayyim) ada menyatakan,
penyakit yang menimpa seseorang individu adalah daripada kelemahan spiritual
dan fizikal mereka. Maka, sebarang penyakit boleh diubati dan mestilah mengikut jaluran yang telah
diletakkan panduannya oleh baginda Nabi s.a.w. dengan meraikan pandangan dan pendapat
ulama tentang keseragaman antara perubatan dan fiqh. Maka fiqh perubatan itu amat penting kerana ianya berkait-rapat sesuatu
penyakit dan penawar dengan keyakinan dan kefahaman kita dalam persoalan fiqh
agar penyakit yang diturunkan oleh Allah taala maka tempat bergantung
penawarnya juga adalah daripada Allah taala.
Nabi s.a.w. juga pernah memnyarankan kepada mana-mana
dikalangan sahabatnya untuk mencarikan doktor untuk merawat penyakit.
أن رسول الله (ص) قال لهما : أيكما أطب؟
فقالا : أو في الطب خير يا رسول الله؟ فقال : أنزل الدواء الذي أنزل الداء
“Mana satu antara kamu berdua yang lebih
baik perawatannya? Maka kedua-dua sahabat tadi bertanya kepada Rasulullah :
Dalam perubatan itu ada kebaikankah wahai Rasulullah? Lalu Rasulullah s.a.w.
bersabda : Telah diturunkan penyakit yang diturunkannya juga ubat
(perawatannya)”. (Hadis Riwayat Imam Malik bin Anas)
Dalam hadis lain
daripada Amru bin Syuaib, daripada ayahnya, daripada datuknya telah berkata,
Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
من تطبب ولم يعلم منه الطب قبل ذلك فهو ضامن
“Sesiapa
yang berubat tanpa mengetahui disisinya sesuatu ilmu perubatan maka dirinya
sebagai jaminan (bertanggungjawab atas kesan dna risiko yang bakal dihadapi”. (Hadis
Riwayat Imam Abu Daud, Nasaie dan Ibn Majah)
Dalam hadis-hadis
diatas, ia mengandungi tiga perkara penting untuk disingkapi. Antaranya tentang
etimologi, fiqh dan perubatan.
- Dari sudut etimologi
: kalimah الطب ianya dibaca dengan baris bawah yang membawa kepada beberapa
maksud dalam sandaran Bahasa Arab :
1. Pembaikan الإصلاح
2. Kemahiran الحذق
3. Kebiasaan العادة
4. Mempersona السحر
2. Kemahiran الحذق
3. Kebiasaan العادة
4. Mempersona السحر
- Dari sudut Fiqh : Sesiapa yang berubat dan mencari penawar tanpa
memiliki kemahiran dan pengetahuan tentang bidang perubatan maka dia sebenarnya
sedang berhadapan dengan nyawanya sebagai tebusan. Maka jumhur ulama menyatakan
haram sekiranya sengaja mencampakkan dirinya kedalam kebinasaan kerana stiap
penyakit yang diturunkan Allah pasti ada penawarnya.
Oleh itu, berubat dan
berusaha mencari doktor untuk mengelakkan sesuatu bencana yang akan membinasakan
diri sendiri merupakan amalan yang syar’ie.
- Dari sudut
Perubatan : Ia menunjukkan
tentang galakan dan gesaan Nabi s.a.w. untuk menceburi bidang perubatan dan
sentiasa mencari jalan untuk mengelakkan kemudaratan. Ianya termasuk dalam
konteks fardhu kifayah.
Maka, perubahan zaman
memerlukan kepada teori dan proses perubahan yang lebih baik dengan
alatan-alatan dan kajian moden, maka tidak salah sekiranya perubahan-perubahan
cara perubatan mengikut teknologi terkini
digunakan. Bahkan, bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ijazah
kedoktoran daripada mana-mana university dan medan pengajian merupakan satu
kewajipan kifayah kepada seluruh umat Islam.
Oleh itu, wujudnya
satu entiti dan kesatuan kedoktoran dibawah satu Kementerian Kesihatan Negeri atau seumpamanya merupakan langkah
baik bagi menghimpunkan pelbagai persoalan, masalah dan tindakan tentang
perubatan moden yang sekaligus mampu menjadi tempat rujuk apabila tertimpanya
sesuatu musibah penyakit.
PANDUAN DAN PEDOMAN DARIPADA PERUBATAN SERTA PERAWATAN
CARA RASULULLAH S.A.W. MENGIKUT PANDANGAN DR. SABIR ABDUL DAIM YUNUS[3]
Hadis-hadis daripada baginda s.a.w. tentang perubatan dan
perawatan bukan hanya sekitar satu medan perbahasan ilmu perubatan semata,
tetapi baginda s.a.w. menyatakannya dalam beberapa aspek asas yang lain iaitu :
1. Presentifiologi (Pencegahan) الطب الوقائي
2. Terapeutikologi (Perawatan) الطب العلاجي
3. Psikoterapi (Spiritual) الطب النفسي
2. Terapeutikologi (Perawatan) الطب العلاجي
3. Psikoterapi (Spiritual) الطب النفسي
1. PRESENTIFIOLOGI الطب الوقائي
(Perubatan Cara Pencegahan)
Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya berdasarkan wahyu Ilahi
tentang penjagaan diri walaupun sekecil-kecil perkara agar manusia hidup dalam
keadaan sihat sejahtera dan terhindar daripada sesuatu musibah.
Antaranya adalah konsep bersuci yang diajarkan oleh baginda
s.a.w. Rasulullah s.a.w. ada bersabda :
الطهر شطر الإيمان
“Bersuci itu
sebahagian daripada iman”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Bersuci antara ibadah paling asas dan paling mudah untuk dilaksanakan bahkan ianya
sebagai rangkuman daripada ibadah-ibadah besar yang lain. Sekiranya kaedah
bersuci tidak dilaksanakan maka tidak akan sah dan diterima beberapa amalan
lain yang lebih besar kedudukannya disisi Allah seperti ibadah solat yang
memerlukan kepada berwudhu’ terlebih dahulu.
Nabi s.a.w. pernah bersabda :
لو أن نهرا بباب أحدكم يغتسل فيه خمس مرات كل
يوم هل يبقى من درنه شيء؟ فقالوا : لا
يبقى من درنه شيء. قال (ص) : فذلك مثل الصلوات الخمس يمحوا الله بهن الخطايا
“Sekiranya
sebatang sungai ada dihadapan pintu salah seorang daripada kamu lalu dia mandi
sebanyak lima kali setiap hari, adakah akan tertinggal lagi kekotoran walaupun
satu? Maka mereka (para sahabat) berkata : Tidak akan kekal kekotoran walaupun
satu. Lalu baginda s.a.w. berkata : Begitulah perumpamaan dolat lima waktu.
Allah akan membuang dengan menunaikannya segala kekotoran”. (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)
Baginda s.a.w. juga
ada menyarankan kepada umatnya agar tidak makan dan minum daripada tiga keadaan
kerana ia boleh membawa kepada wabak dan penyakit. Sabda Nabi s.a.w. :
اتقوا الملاعن الثلاث : البراز في الموارد
وقارعة الطريق والظل
“Berjagalah
kamu daripada tiga : Sumber takungan air (yang dibuang najis padanya), laluan
pejalan kaki dan bawah teduhan”. (Hadis Riwayat Sunan
Abi Daud)
Dalam hadis lain
menyatakan :
غطوا الإناء وأكنوا السقاء وأغلقوا الباب
واطفؤا السراج فإن الشيطان لا يحل سقاء ولا يفتح بابا ولا يكشف إناء
"Tutuplah bekas (makanan), ikatlah mulut girbah, tutuplah
pintu, matikan lampu, sesungguhnya syaitan tidak akan mampu melepaskan ikatan
girbah, tidak mampu membuka pintu dan tidak boleh menyelongkar bekas (yang
telah tertutup)". (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Antara saranan baginda s.a.w. lagi agar menjaga kesihatan
anggota badan dan mengelakkan diri daripada dijangkiti boleh dilihat dalam
beberapa contoh lain. Antaranya :
1. Larangan daripada meminum arak (hukumya haram kerana
boleh merosakkan akal).
2. Tegahan daripada makan dan minum terlalu banyak (kerana boleh mlmahkan tubuh badan).
3. Galakan untuk sentiasa bersenam (membawa kepada kecergasan anggota dan minda).
4. Kuarantin dan tahan daripada keluar ke tempat awam bagi seseorang yang ditimpa penyakit yang agak risiko dan bahaya kepada orang lain (seperti taun, campak dan lain-lain).
5. Sentiasa menunaikan syariat agama dan ibadah yang difardhukan seperti solat dan lain-lain kerana boleh menyihatkan seluruh anggota badan.
2. Tegahan daripada makan dan minum terlalu banyak (kerana boleh mlmahkan tubuh badan).
3. Galakan untuk sentiasa bersenam (membawa kepada kecergasan anggota dan minda).
4. Kuarantin dan tahan daripada keluar ke tempat awam bagi seseorang yang ditimpa penyakit yang agak risiko dan bahaya kepada orang lain (seperti taun, campak dan lain-lain).
5. Sentiasa menunaikan syariat agama dan ibadah yang difardhukan seperti solat dan lain-lain kerana boleh menyihatkan seluruh anggota badan.
Begitu juga kaedah ibadah solat yang difardhukan kepada
manusia mempunyai pelbagai hikmah. Antaranya boleh membuka dan mengembangkan
saluran pembuluh darah agar berjalan lancar. Ia menjadikan seseorang individu
yang sentiasa menunaikan solat, lebih-lebih lagi solat malam (tahajjud dan
qiamullail) lebih tenaga dan kesihatan berbanding mereka yang tidak solat.
Kajian menyatakan, mereka yang sentiasa melazimi solat hanya
10% sahaja dikalangan mereka ditimpa penyakit, manakala mereka yang tidak solat
risiko untuk ditimpa penyakit lebih besar iaitu 90%.[4]
2. TERAPEUTIKOLOGI الطب العلاجي
(Perubatan Cara Perawatan)
Rasulullah s.a.w. ada bersabda :
يا عباد الله تداووا فإن الله لم ينزل داء
إلا أنزل له دواء علمه من علمه وجهله من جهله إلا السام أي الموت
“Wahai hamba-hamba Allah kalian semua boleh diubati.
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak menurunkansesuatu penyakit kecuali menurunkan
bagi penyakit tersebut penawarnya kecuali al-Saam iaitu mati”. (Hadis Riwayat Imam Nasaie dan Ibn Majah)
Dalam hadis lain baginda s.a.w. ada menyatakan :
ما ملأ أدمي وعاء شرا من بطنه
“Tidaklah
seorang anak Adam itu mengisi sesuatu tempat isian yang lebih buruk daripada
perutnya”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Disebabkan itu maka
akan lahirlah pelbagai penyakit buruk seperti ulser (luka dalam perut),
arteriosclerosis (penyakit urat nadi), sirosis (penyakit hati yang disifatkan
oleh matinya sel-sel hati), stress (ketegangan fizikal) dan sebagainya.[5]
Sebab itulah,
Rasulullah s.a.w. memberikan beberapa cara bagi mengelak dan menyembuhkan
penyakit. Antaranya adalah dengan melazimi meminum madu dan berbekam sebagai
cara perubatan yang paling berkesan kerana madu adalah ubat segala penyakit.
Nabi s.a.w. pernah
bersabda :
الشفاء في الثلاثة : شربة العسل وشرطة محجم
وكية بالنار وأنهى أمتي عن الكي
“Penawar
itu boleh didapati daripada tiga perkara : Meminum madu, berbekam dan selaran
api. Aku melarang umatku daripada menggunakan selaran api". (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Rasulullah s.a.w. sentiasa minum mencampurkan air dengan
madu untuk menjaga kesihatan baginda. Mengikut eksperiman dan kajian perubatan
moden, ia mampu menjaga kesuhatan badan daripada ditimpa typhoid (demam
kepialu), desentri (cirit-birit), intestinal (penyakit usus), gastrik (ulser
perut), influenza, selsema, membantu pencernaan dan lain-lain. [6]
Begitu juga berbekam dengan darah-darah kotor dikeluarkan.
Ia mampu menjaga tubuh badan agar sentiasa segar dan tidak lesu kerana ianya
membantu pengaliran darah dengan lancar.
Dalam hadis lain juga ada dinyatakan tentang Habbatus Sauda’
antara herba yang boleh dijadikan penawar.
Sabda baginda s.a.w.:
عليكم بهذه الحبة السوداء فإن فيها شفاء من
كل داء إلا السأم أي الموت
“Hendaklah
kamu sentiasa memakan Habbatus Sauda’, kerana sesungguhnya pada (Habbatus
Sauda) tersebut terdapat segala penawar kecuali al-Saam iaitu maut”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Ini kerana,
unsur-unsur yang terdapat dalam Habbatus Sauda’ mampu meningkatkan imunisasi
dalam badan seseorang. Disana, sudah banyak kajian dan penelitian dikalangan
para pengkaji bahawa Habbatus Sauda’ mampu menjadi penawar kepada penyakit Aids
dan barah serta seumpamanya.
Bahkan, dalam kajian
dan keputusan yang didapati setelah diperhatikan bagi mereka yang meminum 1 gram daripada Habbatus Sauda’ 2 kali sehari
maka kesannya amat positif untuk imunisasi badan dan mampu mengaktifkan sel-sel
darah dalam badan.
Pelbagai lagi amalan
yang biasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. antaranya bersiwak
(bersugi). Ia dapat menjaga pernafasan yang busuk, menjaga gigi daripada mudak
rosak dan rongak, serta bibir dan lidah akan sentiasa segar. Mengikut kajian,
seseorang akan sentiasa bersikap positif dan mudah memahami sesuatu perkara
dengan lebih cepat kerana otak dan kerasionalan berfikir mereka sentiasa segar
apabila melazimi bersugi.
3. PSIKOTERAPI
الطب النفسي
(Perubatan Spiritual/Rohani)
Antara beberapa contoh
yang diajarkan oleh baginda s.a.w. bagi mengubati penyakit rohani/penyakit
hati yang ada dalam diri manusia disebabkan oleh emosi yang tidak terkawal,
antaranya[7]
:
1. Bersikap rasional
dan tidak melampaui batas dalam sesuatu kelakuan dan amalan الإعتدال وعدم الإسراف
Tindakan yang
berlebih-lebihan dalam sesuatu urusan keduniaan menyebabkan seseorang akan
dihantui oleh kebimbangan, keresahan, kebingungan, kekacauan dan pelbagai lagi.
Akhirnya kehidupan sehari-hari akan menjadi musuh utama dirinya untuk sentiasa
mendapatkan lebih daripada orang lain.
Rasulullah s.a.w.
pernah bersabda :
كلوا واشربوا وتصدقوا والبسوا في غير إسراف
ولا مخيلة
“Makanlah,
minumlah, bersedekahlah, berpakaianlah tanpa melampaui batasan (yang dilarang
agama) dan janganlah menjadi orang yang sombong”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
2. Bersikap lembut dan
bertolak ansur الرفق
Lemah lembut dicirikan
sebagai seorang yang tahu adab-adab dan akhlak dalam sepergaulannya dengan
masyarakat, apatah lagi akhlak dan adab-adab inilah yang sentiasa diajarkan
oleh baginda s.a.w. supaya diri seseorang itu mudah didekati dan hatinya akan
menjadi tenang dan sentiasa gembira.
Rasulullah s.a.w.
pernah bersabda :
إن الرفق لا يكون في شيء إلا زانه
“Sesungguhnya
bersikap lembut itu tidak akan menjadikan mereka itu melainkan pasti akan
menghiasi dirinya(kebaikan)”. (Hadis
Riwayat Imam Muslim)
3. Menegah daripada sentiasa marah النهي عن الغضب
Apabila dilihat dan diteliti tentang penyaki-penyakit hati
dan gangguan emosi dikalangan manusia datang daripada sikap mereka yang sering
marah, menengking dan mudah merungut. Apabila seseorang tidak mampu mngawal
marahnya maka emosinya akan bertambah membuak-buak untuk melakukan pelbagai
reaksi yang dilarang oleh agama.
Sebab itu Nabi s.a.w. ada bersabda dan memperingatinya
umatnya sehingga mengulangkannya sebanyak tiga kali berturut-turut:
أن رجلا قال للنبي (ص) : أوصيني, قال (ص) : لا
تغضب فردد مرارا
قال : لا تغضب
قال : لا تغضب
“Ada seorang lelaki pernah berkata kepada Nabi s.a.w. :
Wasiatkanlah aku. Lalu baginda bersabda : Janganlah kamu marah dandiulang
berkali-kali. Jangankamu marah”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
ما في جرعة أعظم أجرا عند الله من جرعة غيظ كظمها عبد ابتغاء وجه الله
“Tiada satu tegukan yang lebih besar pahala disisi Allah yang
mengalahkan seteguk minuman peredam (menahan) kemarahannya semata-mata
mengharap keredhaan Allah”. (Hadis Riwayat ibn Majah)
4. Sentiasa melazimi ketaatan kepada Allah (fardhu dan
sunat) التزم بالطاعة
Ketaatan kepada Allah merupakan antara rahsia Allah taala.
Antara hikmah sesuatu kefardhuan seperti solat, puasa, zakat, haji dan
seumpamanya adalah untuk menjaga diri seseorang daripada tergelincir daripada
perkara yang tidak sepatutnya. Apatah lagi jika mereka berusaha untuk
menambahkan ibadah mereka kepada Allah dengan amalan-amalan sunat maka pasti
Allah taala akan sentiasa menjaga keperibadian mereka sehari-hari dan
dikasihi-Nya.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :
ما تقرب الي المتقربون بمثل أداء ما افترضت
عليهم ولا يزال العبد يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
“Tiada satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah seumpama
menunaikan apa yang telah Aku (Allah) fardhukan ketas mereka, dan akan
sentiasalah seorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan
sunat sehinggalah Aku mengasihinya (mencintainya)”. (Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim)
5. Segera bertaubat kepada Allah diatas sesuatu dosa سريع التوبة على الذنوب
Sesungguhnya, taubat sesorang hamba disisi Allah taala
merupakan kesedaran dan penyesalannya yang lahir daripada lubuk hati. Kesedaran
inilah yang mampu memperbaiki diri agar menjadi seorang hamba yang sentiasa
melazimi ketaatan kepada-Nya dan disukai oleh Allah taala.
إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين
“Sesungguhnya Allah menyukai bagi
mereka yang bertaubat dan membersihkan diri”. (Surah al-Baqarah : 222)
Nabi s.a.w. juga pernah bersabda :
فإن التائب من الذنب كمن لاذنب له
“Maka sesungguhnya
mereka yang bertaubat daripada dosa sepertilah mereka yang tidak pernah
melakukan dosa disisinya”. (Hadis
Riwayat Imam Ibn Majah)
6. Sentiasa
beristighfar التزم بالإستغفار
Dengan memperbanyakkan
istighfar kepada-Nya maka hati kita akan lembut. Istighfar merupakan ubat
segala penyakit hati. Apabila dipuji, istighfar mampu mengembalikan pemilik
hati tersebut dengan memandang sesuatu pujian dan kebaikan yang dilakukan itu
daripada anugerah Allah taala. Begitu juga apabila dikeji, mereka akan sentiasa
memandang dengan kelemahan dan kekurangan itu daripada dirinya lantas memohon
ampun kepada Allah taala. Maka Allah taala akan bukakan baginya jalan
penyelesaian tanpa diduga.
Rasulullah s.a.w.
pernah bersabda :
قال
النبي (ص) : من لزم الإستغفار جعله الله له من كل هم مخرجا ومن كل ضيق فرجا ورزقه
من حيث لايحتسب – حديث رواية أبو داود في سننه
“Sesiapa
yang melazimi istighfar, Allah taala akan jadikan baginya bagi tiap-tiap
kebimbangan jalan keluar, tiap-tiap kesempitan akan keluasan dan diberikannya
rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka”. (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)
KESIMPULAN
Semua penyakit yang dihadapi oleh manusia ada penawarnya. Mustahil
sesuatu penyakit yang dimusibahkan kepada sesorang hamba Allah taala tidak
diturunkan-Nya penawar dan cara perubatannya.
Firman Allah taala :
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم
حريص عليكم بالمؤمنين
رؤوف رحيم
رؤوف رحيم
“Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada
kalangan kalian sendiri, berat terasa olehnya (Rasul) penderitaan yang kalian
alami, dia (Rasul) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kalian,
penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman”. (Surah
al-Taubah : 127)
Maka pengutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai “Pakar
Perubatan” bertepatan untuk diambil panduan dan pedoman bagi mengubati segala
penyakit dengan izin Allah taala melainkan satu penyakit sahaja yang tidak
boleh diubati iaitu nyanyuk/tua.
Dalam satu hadis, Usamah bin Syarik telah berkata :
كنت عند البي (ص) وجاءت الأعراب فقالوا : يا
رسول الله انتداوي؟ فقال : نعم يا عباد الله تداووا, فإن الله عز وجل لم يضع داء
إلا وضع لها شفاء غير داء واحد قالوا : ما هو؟ قال : الهرم
“Aku bersama dengan Nabi s.a.w. lalu datanglah beberapa orang
arab menanyakan : Wahai Rasulullah ! Adakah kami boleh diubati? Maka Baginda
bersabda : Boleh wahai hamba-hamba Allah kalian semua boleh diubati.
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak meletakkan (menurunkan) sesuatu penyakit
kecuali menyediakan bagi penyakit tersebut penawarnya melainkan satu penyakit.
Lalu mereka bertanya : Apakah penyakit tersebut? Lalu baginda s.a.w. bersabda :
Penyakit nyanyuk/tua.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnad)
Wallahu a’lam.
“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012
[2] Ibid
: m/s 11
[3] Majalah
Al-Azhar bulan Rabi’ul Awwal 1434H dalam artikel : “Muhammad s.a.w.
Tabibul Insaniah” tulisan Dr. Sabir Abdul Daim Yunus : m/s 582
[4]
Kitab al-I’jazul Ilmi fil Islam (al-Sunnah al-Nabawiyyah)
karangan Dr. Muhammad Kamil Abd Samad : m/s 96
[5] Op.Cit
Dr. Sabir Abdul Daim Yunus : m/s 587
[6] Ibid
: m/s 587
[7] Ibid
: m/s 588
RSS Feed
Twitter
9:51 PM
Kenali MANHAL




0 comments:
Post a Comment