KENAPA
KITA PERLU MENOLONG PALESTIN?
Ada beberapa perkara yang perlu dipandang apabila kita
berbicara isu Palestin dasawarsa kini. Kenapa perlu sangat kita menolong
membebaskan Palestin dan rakyatnya sebagaimana yang difatwakan wajib oleh
kebanyakan ulama daripada belenggu penjajah Gerakan Zionis.
Ini berkisar kerana beberapa faktor seperti terdapatnya Baitul Maqdis di Palestin (Kiblat umat Islam
yang pertama dan masjid yang ketiga paling mulia disisi Allah). Ianya juga
merupakan tempat diperjalankan baginda Raslullah s.a.w. peristiwa “Israk Mikraj” daripada Mekah ke Palestin dalam satu malam.
Disitulah juga tempat terakhir Rasulullah s.a.w. berpijak
sebelum diangkat mi’raj betemu Allah taala untuk menerima wahyu agung tentang
pensyariatan solat fardhu lima waktu. Bahkan bumi Palestin merupakan bumi para
Nabi dan Rasul serta aulia’Allah yang salih.
Namun tanggungjawab kita untuk membebaskan Palestin daripada
belenggu Zionis yang paling utama dan paling besar adalah kerana disana terdapatnya
saudara-saudara seislam dan seakidah dengan kita yang sedang dizalimi.
Itulah prioriti (keutamaan) yang paling besar dan sebab apa
dikalangan para ulama samada yang terdahulu atau terkemudian mewajibkan seluruh
umat Islam untuk bersama-sama berjihad dan menolong rakyat Palestin mendapatkan
kembali hak mereka yang telah dirampas dan diceroboh oleh orang asing (Zionis).
MEMBEBASKAN
PALESTIN MERUPAKAN KEWAJIPAN SYARA’ TERHADAP SELURUH UMAT ISLAM
والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض
“Dan orang mukmin lelaki serta perempuan setengah mereka
merupakan penlong kepada setengah yang lain”. (Surah al-Taubah : 71)
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menyatakan :
“Hati-hati
mereka (orang-orang mukmin samada lelaki atau perempuan) adalah satu dari sudut
berkasih sayang. Mereka menolong antara satu sama lain samada dalam keadaan
senang, susah dan berhenti daripada melaksanakan kekerasan dan perkara yang
ditegah”. [1]
Dalam ayat yang lain, Allah taala menceritakan tentang
kewajipan menolong sesame muslim merupakan petunjuk kepada benarnya iman
seseorang kepada Allah taala dan sempurnya Islam yang ada pada dirinya.
Firman Allah taala :
وإن استنصروكم في الدين فعليكم النصر
“Jika mereka (orang-orang beriman yang lain) meminta
pertolongan daripadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib
memberikan pertolongan”. (Surah al-Anfal : 72)
Imam Ibnul ‘Arabi (Fuqaha’ Maliki) dinaqalkan kalamnya dalam
kitab Tafsir al-Qurtubi ada menyatakan :
“Diwajibkan untuk semua menolong kaum muslimin kecuali
mereka yang lemah. Ini kerana umat Islam mempunyai hak kekuasaan yang wajib
untuk ditegakkan dan ditolong sehingga tidak didapati daripada kalangan umat
Islam walaupun seorang yang terkecuali melainkan keluar untuk menyelamatkan
mereka yang lain (ditindas) sekiranya bilangan kita mampu menanganinya. Ataupun
wajib mengeluarkan seluruh harta kekayaan kita untuk menolong mereka (yang
ditindas) sehingga tidak ada seorang pun yang terkecuali walaupun satu dirham
bersama mereka”.[2]
Nabi s.a.w. pernah bersabda untuk menolong sesama muslim
daripada kezaliman (samada yang dizalimi atau yang zalim) :
انصر أخاك ظالما أو مظلوما. قالوا : يا رسول الله هذا ننصره مظلوما
فكيف ننصره ظالما؟
قال : تحجزه عن الظلم
قال : تحجزه عن الظلم
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi. Lalu para
sahabat bertanya : Wahai Rasulullah ! Kami
boleh menolong mereka yang dizalimi tetapi bagaimana kami menolong
mereka yang zalim? Maka Rasulullah s.a.w. berkata : Tegahkan dirinya daripada
melakukan kezaliman”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. ada bersabda :
المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يخذله ولا يحقره
“Seorang muslim merupakan saudara muslim (yang lain), tidak
boleh menzaliminya, tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh menghinanya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bahkan Nabi s.a.w. dengan tegas melarang daripada kita
mengkhianati dan membiarkan saudara muslim kita yang lain bersendirian
sebagaimana sabda baginda s.a.w :
ما من امرأ مسلم يجذل امرأ مسلما في موطن ينتقص فيه من عرضه وينتهك
فيه من حرمته إلا خذله الله تعالى في موطن يحب فيه نصرته, ما من أحد مسلما ينصر
مسلما في موطن ينتقص فيه من عرضه وينتهك
فيه من حرمته إلا نصره الله في موطن يحب
فيه نصرته
“Bukanlah seorang muslim yang membiarkan seorang muslim
yang lain di tempatnya dalam keadaan direndah-rendahkan maruah dan dinodai
kehormatan mereka, kecuali Allah taala akan membiarkan mereka juga di tempat yang
mereka suka untuk mendapatkan pertolongan.. Dan tidaklah seorang muslim yang
menolong seorang muslim yang lain di tempatnya dalam keadaan direndah-rendahkan
maruahnya dan dinodai kehormatan mereka melainkan Allah akan menolong juga
mereka ditempat yang mereka suka untuk mendapatkan pertolongan”. (Hadis
Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
FATWA
PARA ULAMA TENTANG KEWAJIPAN BERJIHAD DAN MENOLONG SAUDARA SEISLAM KHUSUSNYA DI
PALESTIN
Dalam kitab "Majmu’ah Rasail al-Banna" مجموعة رسائل للإمام حسن البنا dalam “Risalah
Jihad” [3]
(1948M) sengaja ditulisnya tajuk
tersebut pada tahun itu sempena peristiwa khusus yang sedang berlaku di Palestin.
Beliau ada menyatakan :
“Islam mewajibkan jihad keatas penganut-penganutnya
bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula
untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara
merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata
bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan
agama yang diamanahkan Allah ke atas setiap bahu muslim. Amanah menyampaikan
risalah agama adalah risalah pemberi petunjuk kepada manusia menuju kearah
pintu gerbang keadilan dan kebenaran”.
Beliau ada manukilkan beberapa pendapat dikalangan para
fuqaha’ terdahulu dan terkemudian tentang kewajipan menolong umat Islam yang
ditindas, antaranya :
1. Dalam kitab “Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqal Abhar” disisi
pandangan mazhab Hanafi :
“Apabila musuh menguasai salah satu daripada negeri umat
Islam maka jihad menjadi fardhu ain keatas seluruh umat Islam. Maka dibolehkan
seorang isteri keluar berjihad tanpa meminta izin si suami manakala seorang
hamba juga dibolehkan keluar berjihad tanpa izin majikannya bahkan si anak juga
boleh keluar berjihad tanpa izin daripada kedua ibu bapanya”.
Dalam kitab “al-Bahru” juga ada menyebutkan :
“Sekiranya seorang wanita yang ditahan (menjadi tawanan
perang) dikawasan Timur maka wajib keatas mereka-mereka yang berada di Barat
sekalipun untuk membebaskannya”.
2. Imam Ahmad bin al-Sowi al-Misri menulis dalam kitabnya
tentang kefardhuan jihad iaitu“Balaghatul Salik li Aqrabul Masalik”
disisi pendapat mazhab Maliki :
“Berjihad pada jalan Allah taala untukmeninggikan
agama-Nya adalah fardhu kifayah iaitu apabila telah melakukannya sebahagian
daripada umat Islam maka telah gugurlah kefardhuan keatas mereka yang lain.
Akan tetapi ianya akan menjadi fardhu ‘ain ke atas semua umat Islam sebagaimana
kefardhuan solat dan zakat".
"Maka wajib keatas mana-mana ketua negara umat Islam
menolong dan menyerang musuh yang telah mendatangi negara umat Islam bahkan
setiap umat Islam yang berdekatan dengan negara tersebut wajib menolong mereka
sekiranya rakyat negara tersebut lemah dan tidak berdaya. Para wanita dan hamba
wajib bersama keluar menolong walaupun tidak mendapt keizinan daripada suami
dan majikannya”.
3. Imam al-Nawawi dalam kitab “al-Manahij” yang
dikarang disisi pandangan mazhab Syafie :
“Adalah jihad pada zaman Rasulullah s.a.w. merupakan
fardhu kifayah, dan ada pendapat yang mengatakan fardhu ‘ain. Dan jihad selepas
zaman Rasulullah s.a.w. terhadap orang kafir ada dua keadaan :
i) Fardhu kifayah jika dalam negeri kuffar. Maka apabila
sebahagian daripada orang Islam telah menunaikannya maka gugurlah kefardhuan
daripada mereka yang lain.
ii) Jika mereka masuk kedalam negeri kita (negeri umat
Islam) maka wajib untuk rakyat negara tersebut untuk mempertahankannya daripada
diceroboh sedaya yang ada. Maka sekiranya mampu maka wajib mempersiapkan diri
untuk berperang walaupun melibatkan orang-orang miskin, remaja, orang yang
berhutang, hamba tanpa izin (tuannya/majikannya)”.
4. Ibnu Qudamah dalam kitabnya “al-Mughni” ada
menulis tentang hukum berjihad disisi pendapat mazhab Hanbali :
“Jihad merupakan fardhu kifayah, jika telah menunaikannya
sebahagian daripada orang Islam maka gugurlah kefardhuan tersebut kepada yang
lain. Berjihad mempunyai tiga keadaan :
i) Apabila telah bertemunya dua kelompok tentera dan
berhadapan dua saf tentera(antara muslimin dan kuffar) maka haram keatas
sesiapa yang berada disitu untuk mengundurkan diri bahkan wajib menolong
berjihad pada keadaan tersebut.
ii) Apabila telah masuk golongan kuffar kedalam negeri
mat Islam maka wajib kepada seluruh umat Islam dalam negara tersbut untuk
memerangi mereka dan mengalahkan musuh
.
iii) Apabila ketua (pemimpin negara) keluar bersama satu
puak (tentera) maka wajib juga ikut serta keluar berjihad bersama mereka.
“Abu Abdullah (Imam Ahmad bin Hanbal) berkata : Tidak aku
ketahui akan sesuatu amal selepas daripada kefardhuan-kefardhuan yang lebih
utama daripada berjihad bahkan peperangan di laut itu lebih utama berbanding di
daratan”.
5. Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf r.h (Mufti Mesir yang
lepas) telah mengeluarkan fatwa yang bertarikh 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan
1 Januari 1956 melalui Lajnah Fatwa Al-Azhar, Mesir menyatakan :
“Palestin merupakan negara Islam manakala Israel telah
melakukan pencerobohan keatasnya. Seluruh dunia Islam diwajibkan untuk
menghidup dan menggerakkan semangat jihad dikalangan masyarakat Islam untuk
membebaskan Palestin dan menegakkan hukum Allah serta menolong rakyatnya. Haram
bagi sesiapa dikalangan umat Islam yang menolong Israel atau memuliakan mereka
bahkan haram dalam apa jua sekalipun untuk membantu mereka mendapatkan walupun
satu depa tanah Palestin. Mengiktiraf pembentukan negara haram Israel merupakan
satu pengkhianatan kepada Allah dan Rasul serta seluruh umat Islam yang telah
dipertanggugjawabkan untuk menjaganya.
Oleh itu, wajib terhadap semua umat
Islam walaupun berbeza pertuturan bahasa, warna kulit, bangsa, negara dan
lain-lain untuk mengembalikan Palestin kepada rakyatnya yang sebenar. Serta
wajid menolong untuk membekalkan senjata kepada para mujahidin yang berjuang
dan pelbagai kelengkapan untuk menolong mereka berjihad pada jalan Allah”.
6. Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud dalam kitab
“al-Fatawa”[4]
iaitu himpunan daripada fatwa-fatwa yang telah dikeluarkannya ada menyebutkan :
“Menyebarkan kalimah Tauhid (Islam) merupakan kewajipan
umum kepada seluruh umat Islam begitulah juga untukmempertahankan negara umat
Islam. Maka mengusir dan menghalau musuh daripada tanah umat Islam merupakan
kewajipan. Mengusir Israel daripada Masjidil Aqsa dan daripada apa sahaja
belenggu dan penjajahan dalam bumi umat Islam merupakan satu kewajipan. Ianya
adalah satu perkara yang suci dan mulia bahkan wajib fardhu ‘ain keatas semua
umat Islam”.
“Peperangan antara arab dengan Israel merupakan jihad dan
dalam masa yang sama adalah mempertahankan hak dan maruah umat Islam yang telah
ditindas dan diceroboh. Sesapa yang mati maka dinilai sebagai syahid disisi
Allah. Rakyat Palestin ada yang terpaksa keluarmeninggalkan bumi sendiri kerana
teruknya mehnah dan tribulasi yang menimpa mereka dalam pelbagai aspek. Maka
wajib kepada semua negara-negara Islam yang ada untuk membantu mengembalikan
hak mereka. Sekiranya ada mana-mana negara umat Islam yang tidak mengambil
bahagian maka ia merupakan satu jenayah terhadap Allah dan Rasul-Nya”.
7. Syeikh Yusuff al-Qardhawi dalam fatwanya[5]
yang berkaitan dengan Palestin ada menyatakan :
“Aku ingin menegaskan bahawasanya bumi Palestin merupakan
bumi umat Islam. Ianya bukan sahaja milik rakyat Palestin semata-mata tetapi
milik umat Islam seluruhnya daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Sekiranya satu generasi telah mengabai dan menyalah-gunakannya maka haram untuk
seluruh umat Islam berputus asa daripada
melepaskannya kepada musuh.
Sekiranya rakyat Palestin tidak mampu untuk
mempertahankan hak mereka maka wajib kepada seluruh umat Islam yang lain untuk
menolong mempertahankan hak tanah kelahiran mereka. Wajib menolong untuk
melawan musuh dan mempertahankan Masjidil Aqsa".
"Sekiranya kita tidak mampu
untuk turun berperang dan berjuang bersama mereka maka musuhilah mereka dengan
pelbagai cara untuk menolong umat Islam dengan cara penerangan dan penyampaian
maklumat secara menyeluruh. Maka mana mungkin rakyat Palestin sendiri yang
sanggup untuk menggadaikan hak mereka (dengan menjual tanahair mereka sendiri)”.
Firman Allah :
وما لنا ألا نقاتل في سبيل الله وقد أخرجنا
من ديارنا وأبنائنا
“Mengapa kami tidak akan berperang pada jalan Allah sedangkan
kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dipisahkan dari anak-anak kami?
(Surah al-Baqarah : 246)
Boleh rujuk lagi di artikel MANHAL lepas : Kewajipan Umat Islam Terhadap Baitul Maqdis
Boleh rujuk lagi di artikel MANHAL lepas : Kewajipan Umat Islam Terhadap Baitul Maqdis
Begitulah beberapa pendapat para ulama tentang kefardhuan
dan tanggungjawab sesama muslim untuk membantu saudara merka yang ditindas dan
diceroboh hak mereka.
Wassalam...
"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012
RSS Feed
Twitter
2:51 AM
Kenali MANHAL







0 comments:
Post a Comment