Selamat Datang ke Portal Rasmi MANHAL PMRAM ~Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar~ Dijemput kepada sahabat-sahabat untuk menghantar sebarang artikel ilmiah iaitu di manhal_pmram@yahoo.com, artikel tersebut akan dinilai oleh Anggota Fellow MANHAL sebelum dipaparkan di sini -Semoga dapat mengambil istifadah dan manfaat dari laman ini-

Tuesday, May 14, 2013

Peristiwa Bersejarah Bulan Rejab







PERISTIWA BERSEJARAH BULAN REJAB


1. HIJRAH PERTAMA UMAT ISLAM

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) pada bulan Rejab tahun ke-7 sebelum Hijrah. Hal terbabit pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w. dan orang-orang mukmin ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan mendapatkan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Sayidina Uthman r.a. dan isterinya Ruqiah anak Rasulullah s.a.w. 

Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya (Najasyi) dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya. Beliau tidak menukar umat Islam walaupun akan dijanjikan berupa segunung emas sebagai imbalan.

Setelah Islam kembali kuat dan membina ketamaduna tersendiri dibumi Madinah, Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Ja’afar bin Abi Thalib untuk mengajak Raja Najasyi memeluk Islam.

Isi Surat :

Dari Muhammad utusan Islam untuk An-Najasyi, penguasa Abyssinia (Ethiopia). Salam bagimu, sesungguhnya aku bersyukur kepada Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, dan aku bersaksi bahwa Isa putra Maryam adalah ruh dhari Allah yang diciptakan dengan kalimat Nya yang disampaikan Nya kepada Maryam yang terpilih, baik dan terpelihara. Maka ia hamil kemudian diciptakan Isa dengan tiupan ruh dari-Nya sebagaimana diciptakan Adam dari tanah dengan tangan Nya. Sesungguhnya aku mengajakmu ke jalan Allah. Dan aku telah sampaikan dan menasihatimu maka terimalah nasihatku. Dan salam bagi yang mengikuti petunjuk ”.

2. KEMATIAN RAJA NAJASYI

Najasyi meninggal pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah. Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar melaporkan bahawa kubur Najasyi diliputii cahaya. Rasulullah mengadakan solat ghaib iaitu sembahyang jenazah dari jauh. Rasulullah tidak pernah solat jenazah ghaib sebelum ataupun sesudah meninggalnya raja Najasyi.


3. PERANG TABUK

Perang Tabuk pada tahun ke-9 Hijrah. Ia terletak antara Hijaz dan Syam (Syiria). Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Ia dikenali juga dengan “Perang al-‘Usrah” kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik bahkan Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh.

Kebiasaan dalam peperangan Nabi s.a.w. tidak memberitahu lokasi dan destinasi yang hendak dituju kerana untuk merahsiakannya daripada pengetahuan musuh, namun pada peperangan Tabuk berlaku sebaliknya. Ini kerana besarnya persiapan dan perbekalan yang harus disiapkan kerana amat sukar perjalanannya agar semuanya dapat memperlengkapkan diri secukupnya bagi menghadapi angkatan musuh yang besar.

Namun dalam masa yang sama, ketika inlah Allah s.w.t. ingin memperlihatkan sikap sebenar golongan munafik yang mencari pelbagai alasan untuk menghindari diri mereka keluar berperang kerana kesukaran tersebut bahkan dalam masa yang sama mengajak pula sahabat-sahabat lain untuk bersama mereka.

Lalu Allah s.w.t. berfirman : "Orang yang ditinggalkan (tidak ikut ke medan perang) berasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah dan mereka tidak suka berjihad (menegakkan ajaran Allah) dengan harta dan jiwa mereka dalam jalan Allah, dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat(pergi berperang)dalam panas terik ini. Katakanlah(wahai Muhammad, api neraka lebih panas, jika mereka mengetahui." (Surah At-Taubah,ayat:81)

Namun, Rasulullah s.w.t. hanya mempercayai tiga orang dikalangan mereka yang memberikan alasan tersebut kerana benar-benar jujur mengakui kesilapan mereka. Sebagai ‘iqab (denda) yang dikenakan kepada mereka sebagai peringatan, Rasulullah dan para sahabat memulaukan ketiga-tiganya selama hampir 50 hari sehinggalah datangnya Firman Allah s.w.t. :

"Terhadap tiga orang yang tidak keluar perang, hingga bumi terasa sempit bagi mereka (kerana dipulau oleh Nabi dan Sahabat) padahal bumi itu luas, lalu jiwa mereka pula menjadi sempit, serta mereka telah mengetahui bahawa tiada tempat lari dari pengajaran Allah melainkan kepada-Nya jua, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka thabat dengan taubat mereka, seungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang”. (Surah al-Taubah : 118).

Pulangnya angkatan tentera Islam dari Tabuk tanpa berperang kerana bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, mereka telah digentarkan 100,000 malaikat yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah. Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam.



4. ISRAK MIKRAJ RASULULLAH S.A.W.

Menurut catatan sejarah yang masyhur pada tanggal 27 Rejab tahun ke-11 dari masa kenabian beliau, merupakan peristiwa penting yang selalu diraikan setiap tahun oleh seluruh umat Islam dengan pelbagai amalan dan peringatan sebagai ‘ibrah (pengajaran).

Walaupun disana terdapat pelbagai khilaf dikalangan ulama’ pada menentukan tarikh dan tahun yang tepat namun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya al-Tobaqatil Qubra, bahawa berlaku Israk Mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah.

Israk ertinya berjalan manakala Mikraj ertinya diangkat kelangit menghadap Allah s.w.t. Dalam peristiwa tersebut Rasulullah dipertontonkan pelbagai perkara disetiap lapisan langit sehinggalah sampai ke hadrat Allah dengan difardhukan kepada Baginda dan semua umat Islam akan solat lima waktu.

Ianya sejarah penting memperlihatkan mukjizat Rasulullah s.a.w.


5. LAHIR IMAM SYAFIE R.A

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie’. Beliau lahir di Ghazzah, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Fiqh.

Antara jasa besar beliau adalah menggabungkan antara dua jenis institusi pengajian (madrasah Hadith di Hijjaz dan madrasah Ra’yu di ‘Iraq). Beliau juga ulama’ pertama yang menyusun dan menulis Kitab Usul Fiqh dan diberi nama al-Risalah.

Antara peninggalan imam Syafie yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm, al-Risalah, al-Hujjah, Ikhtilaful Hadith dan lain-lain.

6. PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, golongan Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib tmenduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun.

Setelah itu ia dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

KESIMPULAN

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, sedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab sebagai persediaan awal kepada pembukaan Bulan Ramadhan nanti. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kejayaan dan anugerah Allah s.w.t.

Gelap malam pasti terang, sang mentari pasti datang. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya datang menyuluh dan menerangi para mukmin. Sucikan kalam, amalan dan hati semata-mata kerana-Nya. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita. Menjadi pemangkin keberjayaan kita dalam imtihan dunia dan akhirat.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “ Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Imam Syafie mengatakan : 'Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban".

SALAM IMTIHAN, SALAM KEJAYAAN

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Disediakan oleh:
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin


__________________________________________

RUJUKAN:

1. Kitab Lathoiful Maarif karangan Ibn Rejab al-Hanbali
2. Kitab Fiqh Sirah karangan Syeikh Saied Ramadhan al-Buthi
3. Kitab Mausu'ah Tarikhul Islami karangan Dr. Raghib al-Surjani
4. Kitab Manaqib al-Syafie karangan Imam Baihaqi


Saturday, May 4, 2013

PERBANDINGAN KONTEKS PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM


           


Sasaran bagi membina sebuah negara Islam memerlukan beberapa aspek penting yang perlu diberikan penekanan sewajarnya. Pelaksanaan Islam berdasarkan al-Quran merangkumi seluruh kitaran kehidupan manusia seharian sama ada daripada aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan sistem pentadbiran yang sempurna.

Tunjang keberkesanan negara Islam bermula daripada sistem pentadbiran yang berada dalam kuasa pemimpin. Maka kefahaman pemimpin berperanan besar untuk memastikan segala pembawakan dilaksanakan berlandaskan syariat Islam sebenar.

Untuk penjelasan yang lebih mudah untuk difahami, kita akan melihat beberapa perbandingan daripada beberapa faktor yang perlu ada pada legasi pemerintahan Negara Islam berserta kepentingannya :

                  1. Ekonomi dan pengurusan kewangan
                  2. Pendidikan
                  3. Pelaksanaan undang-undang dan jenayah

Faktor 1 : Ekonomi Dan Pengurusan Kewangan

Ketika zaman pemerintahan Islam di bawah pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz R.A,  beliau telah menghindarkan berlakunya korupsi dalam pengurusan negara dengan menggariskan beberapa perkara antaranya:

  1. Peruntukkan imbuhan gaji yang mencukupi kepada pekerja berdasarkan keperluan semasa. hal ini dapat menghindarkan daripada berlakunya dua perkara:
    - Pecah amanah dan salah guna duit rakyat.
    Jaminan komitmen kerja yang diberikan kepada majikan dan pemerintah tidak menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.
  2. Memelihara daripada belakunya penipuan dalam urusan pentadbiran sama ada melibatkan pengurusan kewangan dan seumpamanya. Kekarapan pemantauan sentiasa dilakukan untuk memastikan berlaku tersebut tidak akan berlaku.
  3. Melarang untuk menerima dan mengambil sebarang bentuk hadiah atau segala bentuk imbuhan. Ketegasan ini dapat mengelakkan untuk terus menular dalam pentadbirannya amalan rasuah dan seumpamanya.
  4. Mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan dan pembaziran, maka segala penggunaan duit digunakan mengikut keperluan seperti kenderaan, pakaian dan tempat tinggal  tanpa berlebihan. Tiada keistimewaan yang ditetapkan bahkan sama seperti rakyat.
  5. Mengisytiharkan harta pemilikan pemerintah kepada rakyat demi menunjukkan ketelusan sekaligus membuka peluang kepada rakyat menyatakan permasalahan yang mereka hadapi kepada pemerintah.
  6. Pemeriksaan aset pemilikan harta pemerintah secara menyeluruh dalam memastikan tidak berlaku salah guna dan pengkhianatan ke atas harta rakyat yang telah diinfaqkan kepada negara.

Strategi dan tindakan yang diambil oleh Khalifah Umar Abdul Aziz R.A merupakan satu bukti bahawa pelaksanaan Islam boleh mengatasi pelbagai masalah yang berlaku dalam sistem pentadbiran Negara sekiranya pemimpin itu memahami kehendak dan garis panduan Islam melalui acuan Al-Quran.

 إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡعَـٰمِلِينَ عَلَيۡہَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُہُمۡ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ‌ۖ فَرِيضَةً۬ مِّنَ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَڪِيمٌ۬

Mafhumnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

( Surah At-Taubah : 60 )

Transformasi ekonomi Islam pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz R.A  memberi momentum perubahan  kepada ekosistem ekonomi rakyat.  Zakat berkepentingan mengurangkan kemiskinan rakyat dan menghindarkan segala bentuk penyelewengan pada ketika  itu.

Hasil culaan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menyatakan, jumlah rakyat Malaysia pada tahun 2010 di setiap negeri dan daerah mencecah seramai  28, 334, 135 penduduk seluruh negara  dan kenyataan daripada Ketua Komite Ekonomi Nasional Indonesia En.Chairul Tanjung berkata kadar penduduk miskin di Malaysia sekitar 28 juta orang.

Berdasarkan kajian  demografik oleh Mapping the Global Muslim Population yang dikeluarkan pada 8 Oktober 2009, bilangan Muslim di Malaysia sekitar 16, 581, 00 orang (60.4 %). Statistik ini membuktikan bahawa seandainya pelaksanaan zakat dipertingkatkan daripada sudut kesedaran dan sistemnya maka sudah pasti akan berlaku penurunan jumlah penduduk miskin di negara .

Bukti zakat dapat mengatasi krisis kemiskinan rakyat sepertimana kisah Khalifah Umar Abdul Aziz R.A apabila beliau telah megirim sepucuk surat kepada Gabenor Iraq yang bernama Abdul Hamid bin Abdul Rahman agar membayar semua gaji kepada seluruh pekerja negeri itu. Kemudian Abdul Hamid bin Abdul Rahman membalas surat tersebut dengan menyatakan  bahawa semua duit telah diagihkan namun masih mempunyai lebihan baki dalam Baitulmal lantas Khalifah Umar Abdul Aziz R.A memerintahkan agar mencari orang yang berhutang agar dapat melunaskan hutang tersebut dengan syarat dia bukan dari kalangan orang yang boros.

Contoh zakat ketika Khilafah Umawiyyah dan Abbasiyyah dibahagikan kepada lima jenis zakat :
  1.  Zakat Emas dan Perak  2.5 %.
  2. Zakat binatang ternakan seperti lembu, kambing dan unta.
  3. Zakat barangan perdagangan dikenakan 2.5 % mengikut syarat zakat emas dan perak.
  4. Zakat galian dan harta yang tertanam: Jika di bumi peperangan zakatnya 1/5 dan jika di bumi aman 2.5 %.
  5. Zakat tanaman dan buah-buahan: Jika menggunakan siraman hujan 1/10 manakala siraman usaha sendiri berkadar 1/20.


Faktor 2 : Pendidikan Dan Keilmuan

Pendidikan berkualiti mampu menjamin gagasan generasi yang berintegriti dan mempunyai kaliber dalam memberikan pandangan. Secara tidak langsung dapat melahirkan pelapis pimpinan setiap peringkat sekaligus meningkat taraf pendidikan dan sosial masyarakat ke tahap mampu menjadikan negara Islam yang sangat mengutamakan sektor pendidikan.

أَمَّنۡ هُوَ قَـٰنِتٌ ءَانَآءَ ٱلَّيۡلِ سَاجِدً۬ا وَقَآٮِٕمً۬ا يَحۡذَرُ ٱلۡأَخِرَةَ وَيَرۡجُواْ رَحۡمَةَ رَبِّهِۦ‌ۗ قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Mafhumnya: "(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
                                                                                                                     
  ( Surah Az-Zumar : 9 )

Walaupun begitu semua ini dapat dilaksanakan seandainya pemimpin dapat membezakan antara keperluan yang perlu diberi keutamaan dengan perkara sampingan terutamanya dalam aspek pendidikan rakyat. Ketika pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh, beberapa penekanan diberikan seperti :
  1. Meletakkan method pendidikan yang bersesuaian seiring tahap pemikiran.
  2. Menyediakan kelengkapan asas untuk memudahkan sesi pembelajaran.
  3. Mewujudkan tanggungan pendidikan percuma  bagi golongan tidak berkemampuan serta membina masjid berhampiran tempat pengajian.
  4. Melahirkan golongan ilmuwan daripada pelbagai bidang sama ada sastera Arab, penterjemahan dan golongan pemikir Islam. Maka lahirlah kitab-kitab dalam penulisan Yunani, Latin dan Bahasa Arab yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Turki.


Negara yang memberikan keutamaan dalam aspek pendidikan mampu mewujudkan satu persepsi baik kepada masyarakat apatah lagi dengan penyediaan pendidikan percuma adalah kerana proses jangka masa penjanaan kualiti generasi akan datang bermula dengan pendidikan. Ini adalah satu pelaburan jangka masa panjang yang memberi keuntungan kepada negara seandainya dapat dipraktikkan.

Namun realitinya kini, pemikiran masyarakat khususnya anak muda mula menular pelbagai jenis pemikiran asing apabila faktor pendidikan tidak dinilai dari sisi pandangan Islam. Kita dapat melihat kepelbagaian bentuk pemikiran yang akan mengakibatkan penularan gejala sosial yang sangat sukar dibendung bahkan semakin merebak seumpama cendawan yang kian tumbuh selepas hujan.

Kesan faktor pendidikan dan keilmuan yang tidak berpaksikan Islam

  1. Hilang jati diri seorang muslim apabila menjadikan gaya hidup barat sebagai kiblat pegangan melalui pendidikan berlandaskan sistem sekular.
  2. Menghina cara kehidupan Islam apabila pernah satu ketika dahulu tercetusnya kelompok anak muda yang berani memijak dan membakar al-Quran.
  3. Keperluan dan kehendak mengamalkan Islam terus hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya mengambil jalan singkat untuk meninggalkan Islam .

Hasil penekanan pendidikan berlandaskan Islam
  1. Tahap kesedaran dan budaya kehidupan harian menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai pegangan gaya hidup seharian.
  2. Pemimpin dan rakyat memahami peranan dan fungsi mengikut posisi dalam memajukan negara dan tidak wujud golongan ketiga.
  3. Kefahaman Islam yang diterapkan dalam kehidupan masyarakat menjadikan proses pembinaan jati diri tidak hanya tertumpu kepada institusi tertententu bahkan merangkumi semua keadaan persekitaran.


Faktor 3 :  Pelaksanaan undang-undang dan jenayah
Daulah Islamiah  adalah sebuah negara  yang  berperlembagaan  serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama dalam melaksanakan satu dasar perundangan melibatkan segala bentuk sama ada  muamalat, ibadah  dan jenayah .

إِنَّآ أَنزَلۡنَا ٱلتَّوۡرَٮٰةَ فِيہَا هُدً۬ى وَنُورٌ۬‌ۚ يَحۡكُمُ بِہَا ٱلنَّبِيُّونَ ٱلَّذِينَ أَسۡلَمُواْ لِلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ بِمَا ٱسۡتُحۡفِظُواْ مِن كِتَـٰبِ ٱللَّهِ وَڪَانُواْ عَلَيۡهِ شُہَدَآءَ‌ۚ فَلَا تَخۡشَوُاْ ٱلنَّاسَ وَٱخۡشَوۡنِ وَلَا تَشۡتَرُواْ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬‌ۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ
Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi Yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

 ( Surah Al- Maidah :44 )

Sistem undang-undang dalam sesebuah negara bertindak sebagai benteng kukuh dalam mencegah pelbagai perlakuan dan kegiatan masyarakat apabila bercanggah dengan hukum dan ketetapan yang telah digariskan oleh Islam. Maka pemilihan golongan yang mampu dan layak mendalami serta melaksanakan undang-undang juga perlu dinilai agar tidak berlaku fitnah kepada pemerintah dan rakyat.

Antara ciri-ciri golongan yang layak melaksanakan undang-undang pada zaman Khilafah Umar Abdul Aziz :
·         Berilmu
·         Pemaaf
·         Tegas  dalam menegakkan kebenaran
·         Mampu mengendalikan perbincangan

Implikasi melaksanakan undang- undang berlandaskan Islam
  1. Menjaga maslahat masyarakat dengan baik melalui neraca Siyasah Syariyyah dalam setiap tindakan dan keputusan.
  2. Keharmonian kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa mampu menghormati antara satu sama lain sekaligus menjaga kebajikan sejagat.
  3. Mengurangkan jenayah daripada terus berlaku di atas kesedaran Islam dan ketegasan dalam melaksanakan hukuman berdasarkan keadaan setempat .


وَبَـٰرَكۡنَا عَلَيۡهِ وَعَلَىٰٓ إِسۡحَـٰقَ‌ۚ وَمِن ذُرِّيَّتِهِمَا مُحۡسِنٌ۬ وَظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ مُبِينٌ۬

Mafhumnya: Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.
                                                                                                                          
 ( Surah As-Saffat : 113 )

Pelaksanaan Sistem Undang-undang Kini

Percampuran unsur-unsur barat sedikit sebanyak mengikis pelaksnaan Islam dalam undang-undang sesebuah negara secara menyeluruh. Maka kesannya, pelbagai enakmen digubal mengikut telunjuk fahaman asing . Seperti contoh sistem perundangan “Common Law” yang diperkenalkan di Malaysia ketika zaman British dan sehingga kini masih digunakan kesan daripada serapan penaklukan saraf(dingin) yang berlaku.

Pelaksanaan undang-undang yang kini  mudah dibeli dengan wang mengakibatkan terjadi penindasan sama ada dalam bentuk terancang ataupun sebaliknya. Apa yang pasti, keluhuran perlembagaan yang sudah termaktub mudah goyah dengan hanya menggunakan kuasa dan wang.

Keutuhan sistem undang-undang menjadi begitu rapuh lantaran pelbagai jenayah dan pelaksanaan undang-undang dipandang enteng oleh masyarakat. Atas dasar inilah kewajaran melaksanakan undang-undang berdasarkan syariat Islam mampu mengelakkan daripada berlakunya perkara yang lebih parah dan sukar sekali dirawat.

KONKLUSI

Negara Islam dapat direalisasikan dengan penekanan tiga faktor yang telah dinyatakan . Kesinambungan tiga faktor ini mampu membantu proses pembinaan negara Islam sejati . Di sini penulis ingin menyatakan kaitan  tiga faktor ini sebagai gambaran untuk melihat lebih jelas lagi keperluan dan kepentiangannya :
  1. Pengukuhan ekonomi dan sistem pengurusan kewangan yang terbaik akan membantu segala pentadbiran negara dalam menggerakkan agenda dan pembawaan negara. Oleh demikian, ekonomi negara perlu diberi penekanan agar tidak berlaku korupsi dan pengkhianatan sekaligus menatijahkan kerugian kepada negara.
  2. Kelumpuhan ekonomi negara bakal mengakibatkan beberapa agenda negara juga akan terjejas seperti agenda pendidikan. Kerencatan pendidikan menjadikan kualiti masyarakat dalam melahirkan gagasan generasi ilmuwan dan profesional akan segera tandus.
  3. Pembangunan insan akan merosot dari masa ke semasa lantaran penjanaan minda masyarakat sukar dikembangkan dengan sempurna.
  4. Ketandusan ini bakal terzahir kerana kurangnya kefahaman dalam mendalami ilmu pengetahuan. Hasilnya, penularan pemikiran asing mula mendapat tempat dalam masyarakat khususnya anak muda. Ketika ini gejala melampau dan kejadian jenayah semakin meningkat dan sukar untuk dibendung.
  5. Kelemahan ekonomi juga mengakibatkan sistem perundangan tidak mampu dikawal dengan baik bahkan mendapat persepsi buruk oleh masyarakat. Disebabkan negara ketandusan golongan ilmuwan dan profesional dek pengurusan kewangan yang tidak tersusun.


Atas kefahaman ini, pembinaan negara Islam dengan penekanan tiga aspek ini akan membantu asas pembangunan insan dan tahap sosio ekonomi negara terjamin. Bahkan tahap pendidikan yang bersesuaian dengan keadaan semasa terutamanya daripada sudut spiritual yang mampu menjana kehidupan harmoni masyarakat dalam sesebuah negara.

Rujukan:


[1]  Kitab Umar Abdul Aziz – Dr Ali Muhammad As-Solabi  m/s 288
[2]  Website : Jabatan Perangkaan Malaysia

[3] Website : Mapping the Global Muslim 


Disediakan oleh: Felo MANHAL PMRAM 2013

Sunday, April 28, 2013

Penghinaan Ulama dan Implikasinya Terhadap Ummah



LARANGAN DARIPADA MENGHINA, MENFITNAH DAN MEMBURUKKAN PERIBADI ULAMA

Disini, penulis bukan bermaksud menyatakan selain daripada para ulama dibenarkan dihina dan dikeji. Cuma prioriti yang perlu diambil kira buat masa sekarang adalah bukan sekadar manusia awam biasa dikeji, bahkan ulama semakin hari semakin ditohmah dengan pelbagai keburukan dan direndah-rendahkan. Pelbagai agenda jahat dan kebobrokan yang datang daripada unsur-unsur tidak baik telah mencemarkan imej ulama.

Terdapat beberapa nas-nas yang menegah kita daripada menghina ulama.

Abu Hurairah r.a. telah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
من عادى لي وليا فقد أذنته بالحرب
“Sesiapa yang memerangi waliKu, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini menunjukkan bahawa para ulama adalah sebaik-baik wali (penyokong, pendokong dan penjaga agama Islam) sebagaimana yang disokong oleh kebanyakan imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah.

Imam Syafie ada berkata:
إن لم يكن العلماء العاملون أولياء الله فليس لله ولي
“Sekiranya tiada ulama amilin sebagai pendokong agama Allah (ulama yang bekerja untuk meperjuangkan agama Allah) maka tiadalah lagi pendokong disisi Allah”. [1]

Imam al-Hafiz ibn ‘Asakir ada berkata :
وأن من أطلق لسانه في العلماء بالثلب - يعني بالتنقص والعيب - بلاه الله قبل موته بموت القلب
“Sesiapa yang meringankan mulutnya untuk mencela ulama (merendah-rendah dan mengaibkan mereka) Allah akan menurunkan bala sebelum datang kematiannya dengan matinya hati”.[2]

FAKTOR BERLAKUNYA FENOMENA PENGHINAAN ULAMA

Ada beberapa faktor asas berlakunya penghinaan terhadap ulama dan peranan mereka dalam berdakwah. Antaranya[3]:

1. Musuh benci melihat Islam dan umatnya bangkit

Kebanyakan daripada musuh-musuh Islam yang benci melihat kebangkitan Islam samada di Timur atau Barat telah melakukan pelbagai muslihat dan tipu daya untuk membenci perjuangan ulama. Mereka membawa masuk pelbagai ideologi Barat yang akan menjatuhkan kredebiliti ulama dengan perhiasan keduniaan yang dipelopori oleh golongan-golongan oreantalis dan munafik dalam Islam.

Benarlah Firman Allah taala :
يريدون ليطفئوا نورالله بأفواههم
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama) dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka”. (Surah al-Saff: 8)

Antaranya yang pernah berlaku di Mesir, Syeikh Ali Abdul Raziq, Menteri Waqaf Mesir pada tahun 1925 telah mengeluarkan sebuah kitab ‘Al-Islam wa Usulul Hukmi’. Dalam kandungan kitab tersebut cuba menggambarkan agama Islam hanya sekitar pesoalan ibadah semata-mata dan tidak bersangkutan dengan kenegaraan. Inilah konsep Sekularisma yang cuba dimasukkan untuk memburukkan Islam dan para ulamanya.

Lalu Mufti Mesir Syeikh Muhammad Bakheit al-Mut’ie telah mengharamkan kitab tersebut lalu menulis sebuah kitab ‘Haqiqatul Islam wa Usulul Hukmi’ bagi menolak pandangan salah Syeikh Ali Abdul Raziq. Begitu juga Syeikhul Azhar Muhammad Kheidir Hussien ketika itu juga menulis sebuah kitab ‘Naqdu Kitabul Islam wa Usulul Hukmi’.

2. Masyarakat dalam kejahilan dan kepura-puraan (Retorik)

Manusia merupakan musuh kepada apa yang dia tidak tahu. Sebab itulah seseorang individu, apabila diseur kepada kebenaran maka dia akan membencinya kerana dia merasakan dia berada pada pihak benar. Adapun disisi pandangan orang lain semuanya salah.

Sebagaimana yang dapat kita perhatikan kini, pelbagai fenomena yang berlaku tentang fahaman yang hendak diperjuangkan. Mereka menulis melalui buku dan majalah, mengadaptasi dalam bentuk filem, dan berteriak melakukan demonstrasi tanpa asas pegangan Al-Quran dan Sunnah.

Mereka jahil terhadap apa yang hendak diperjuangkan. Perjuangan mereka bukan kerana agama tetapi kerana ingin menuntut hak asasi keduniaan dan material semata-mata.

Oleh keran itu, ada dikalangan umat Islam yang terkesan dengan pelbagai doktrin songsang seperti Islam Liberal, Islam Plural, Islam Siasi, Islam Sekular dan lain-lain. Mereka secara langsung memusuhi para ulama serta sanggup mengatakan bahawa undang-undang Allah (kanun-kanun syariah) dicipta oleh para ulama dan fuqaha’.

3. Primitif dan Konservatif (Jumud dan Ta’asub)

Keadaan ini kebiasaan akan berlaku dalam dunia umat Islam. Samada ia didokong oleh golongan ulama sendiri ataupun bersama dengan pengikut-pengikut dalam sesebuah gerakan dan Jemaah.

Apa yang dimaksudkan jumud, mereka tidak cuba keluar kepada waqie’ (realiti) semasa. Mereka hanya memperjuangkan perkara-perkara Fundamental (perkara-perkara asas agama) sebagai topic perbincangan seharian. Fokus utama adalah perkara-perkara usul dalam agama dan mereka memusuhi setiap rekonstruksi (proses islah dan tajdid) yang dilakukan dalam persoalan cabang agama.

Disebabkan itu, mereka akan berada dalam kelompok yang taasub kepada kumpulan mereka sahaja. Mereka tidak dapat menerima mazhab-mazhab lain dan pandangan imam-imam mujtahid sekiranya berlaku perbezaan pandangan dengan apa yang didapati dalam kelompok mereka. Maka tidak ganjil sekiranya penghinaan terhadap ulama disebabkan berlaku dikalangan umat Islam sendiri yang tidak memahami konsep pengamalan dakwah secara syumul.

4. Kagum dan Ego kepada kelebihan sendiri (‘Ujub dan Takabbur)

Setiap individu yang mempunyai sifat kagum dengan kelebihan diri sendiri akan memandang orang lain semuanya rendah. Mereka akan merasa ego dengan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah.

Sabda Nabi s.a.w. :
الكبر بطر الحق وغمط الناس
“Ego akan mengingkari kebenaran dan mencemuh manusia (yang lain)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Maka kerana sifat inilah menyebabkan mereka semakin jauh daripada hidayah Allah taala. Walaupun mereka dikalangan cendekiawan dan cerdik pandai, namun ilmu dan pengetahuan mereka akan menyebabkan mereka semakin jauh daripada Allah taala. Ilmu dan pengetahuan mereka tidak akan bermanfaat bahkan hanya dijadikan untuk berhujjah dan memusuhi kebenaran.

Sabda Nabi s.a.w. :
من ازداد علما ولم يزدد هدى لن يزدد من الله إلا بعدا
“Sesiapa yang semakin bertambah ilmu tetapi tidak bertambah dirinya dengan hidayah (Allah) maka tidak akan bertambah disisi Allah melainkan kejauhan”. (Hadis Riwayat Imam Dailami)

5. Iri hati dan Cemburu

Tersebarnya perasaan iri hati dan cemburu dalam diri individu muslim apabila sesuatu faedah dan manfaat tidak dapat dicapai. Ianya disebabkan terlalu mengikut perasaan dan kehendak hawa nafsu bagi memenuhi keperluan hidup. Bahkan kadang-kadang ia lahir daripada rasa tidak cukup dengan apa yang ada menyebabkan merasa cemburu sekiranya ada lagi disekitarnya yang dipandang lebih.

Bahkan mereka sanggup melakukan pelbagai perkara sehingga memburuk-burukkan ulama kerana para ulama menjadi tempat rujuk dan sumber dalam persoalan kegamaan. Apabila manusia disekeliling mereka sentiasa berulang-alik menimba ilmu dan pandangan daipada ulama, mendengar dan mentaati setiap ijtihad ulama dalam sebarang isu dna permasalahan maka mereka rasa gusar kerana pandangan mereka tidak diterima.

Syeikh Fudhail bin ‘Iyadh ada menyatakan :
ما من أحد أحب الرياسة إلا حسد وبغي وتتبع عيوب الناس وكره أن يذكر أحد بخير
“Tidak ada daripada seseorang yang sangat suka kepada kedudukan/pemerintahan/pangkat melainkan cemburu dan memberontak. Dia akan meneliti keaiban manusia lain dan membenci mereka sekiranya disebut tentang kebaikan mereka”.[4]

6. Ulama yang cenderung kepada keduniaan dan tunduk kepada pemerintah

Apa yang akan memburukkan lagi imej ulama disisi pandangan masyarakat awam ialah mereka sendiri yang cenderung dan ghairah untuk mendapatkan kepentingan duniawi mereka. Mereka sanggup mencemarkan maruah sebagai ulama hanya semata-mata untuk dekat dan rapat dengan pemerintah.

Hukum-hakam diputarberlit agar sesuai dengan pemimpin, fatwa dikeluar untuk menyokong pemerintah yang zalim dan menyokong setiap tindak-tanduk kerajaan serta cuba mempertahankannya walau ianya bersalahan daripada syaraiat Allah taala. Mereka sudah tidak lagi menjalankan amanah ilmu yang ada. Ilmu menjadi benteng kepada kebenaran.

Abdullah ibn Mas’ud ada mengatakan :
لو أن أهل العلم بذلوه لأهل الدنيا لينالوا به من دنياهم فهانوا على أهلها
“Sekiranya ulama mengorbankan dirinya kepada ahli dunia kerana cederung kepada dunia mereka maka mereka akan dihina oleh ahlinya”.[5]

Al-A’masyh juga ada berkata :
شر الأمراء أبعدهم عن العلماء وشر العلماء أقربهم من الأمراء
“Seburuk-buruk pemimpin adalah yang paling jauh daripada ulama. Seburuk-buruk ulama adalah yang paling dekat dengan pemimpin (untuk mencari kepentingan duniawi)”.[6]

KESAN NEGATIF SEKIRANYA PENGHINAAN TERHADAP ULAMA BERTERUSAN

Dr. Muhammad Talaat Afifi dalam kitabnya, al-Ulama’ baina Tauqir wa Tathowalu ada menyatakan beberapa kesan yang akan berlaku sekiranya penghinaan terhadap ulama berterusan.

1. Kesan terhadap pencinta ilmu dan para ulama

- Mengundang kemurkaan Allah taala dan bala-Nya
- Khazanah ilmu dan ketulenan warisan agama akan hilang dan terkubur dengan sebab perginya ulama
- Terdapat tembok pemisah dan pengasingan antara golongan agamawan dan professional
- Agama dan ulama hanya diskopkan dalam persoalan ibadah, perkahwinan dan kematian sahaja

2. Kesan terhadap masyarakat awam

- Hilang kepercayaan kepada ilmu dan institusi ulama sebagai pembimbing masyarakat mengenal Allah
- Mudah dan terburu-buru meletakkan sesuatu kesalahan terhadap ulama sehingga merendah-rendahkan mereka
- Kejahilan dan kesedaran tentang agama semakin hilang dalam jatidiri umat Islam
- Maksiat, gejala sosial dan hiburan melampaui batas semakin berleluasa tanpa bimbingan

3. Kesan terhadap pemerintahan dan kepimpinan negara

- Pemimpin negara tidak menjadikan para ulama sebagai tempat rujuk
- Undang-undang negara digubal berdasarkan hukum sivil dan meninggalkan kanun syariah
- Negara akan mengalami kepincangan disebabkan pemimpin dan pemerintah yang tidak mempunyai amanah dan etika dalam melaksanakan tanggungjawab mereka

KONKLUSI

Ulama adalah qudwah hasanah kepada masyarakat awam kerana mereka menjadi contoh kepada perlakuan dan tingkah laku baginda Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan orang yang dekat dengan Allah dan rasul-Nya. Mereka sentiasa menyampaikan amanah ilmu dan sedaya upaya berusaha untuk melihat agama Allah tertegak dalam diri umat Islam keseluruhannya. Nasihat dan teguran daripada mereka lahir daripada rasa taggungjawab terhadap agama.

Mereka sedar bahawa kebenaran perlu dikembalikan. Oleh itu, mereka sentiasa ingat dan berjaga-jaga dengan sabda Nabi s.a.w. :
من سكت عن الحق فهو شيطان أخرس
“Sesiapa yang berdiam-diri daripada kebenaran maka dialah syaitan yang bisu”.

Sabda Nabi s.a.w. lagi:
من سئل عن علم فكتمه ألجمه الله بلجام من نار يوم القيامة
“Sesiapa yang ditanya akan sesuatu ilmu lalu dia senyap maka Allah akan memakaikannya kekangan yang diperbuat daripada kekangan neraka pada hari akhirat kelak”.

Tuntasnya, ulama adalah pewaris para nabi. Tinta, kalam, ucapan dan tunjuk ajar mereka merupakan hujjah terhadap Allah, Rasulullah dan seluruh umat Islam. Mereka perlu dihormati dan disayangi lebih daripada kedua-dua ibu bapa. Setiap langkahan ulama menjadi sinar kepada kebangkitan dan kedaulatan Islam.

“Perjuangan dirancang oleh ULAMA yang bijaksana, diperjuangkan oleh AKTIVIS yang ikhlas, dimenangkan oleh PEMUDA yang berani, lalu dipetik hasilnya oleh mereka-mereka yang PENGECUT”.

“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”


Disediakan oleh:
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Felo MANHAL PMRAM







RUJUKAN

[1] Kitab al-Majmu’ syarh Muhazzab karangan Imam Nawawi : Jilid 1, m/s 41
[2] Ibid : Jilid 1, m/s 47
[3] Kitab al-Ulama baina Tauqir wa Tathowalu karangan Dr. Talaat Muhammad Afifi : m/s 65
[4] Kitab Jamie’ Bayanul Ilmi wa Fadlihi karangan Ibn Abdul Barr : Jilid 1, m/s 134
[5] Ibid: Jilid 1, m/s 229
[6] Ibid: Jilid 1, m/s 427

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More